Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan: Norizam mahu lantik jurulatih baharu, gandingkan dengan Yusri Che Lah

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan bahawa seorang ketua jurulatih baharu akan dilantik bermula musim depan.

Ini meskipun Yusri Che Lah berjaya membantu Kelantan layak ke Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan JDTII 1-0 di Larkin semalam.

Namun, ia tidak bermaksud Yusri akan digantikan, sebaliknya akan digandingkan bersama.

“Kita akan ambil jurulatih baharu dan akan digandingkan bersama Yusri,” katanya kepada Berita Harian.

“Itu lebih penting untuk memantapkan lagi barisan kejurulatihan. Belum pasti lagi sama ada jurulatih import atau tempatan dan bila tiba masanya nanti saya akan umumkan.”

Dengan berakhirnya kempen Liga Perdana musim ini, Norizam menyatakan rasa puas hati dengan perubahan prestasi para pemain selepas beliau mengambil alih pasukan itu.

“Selepas saya masuk dalam Kelantan FC, banyak perubahan berlaku dalam pasukan. Kita lihat sendiri daripada tiga mata dan dalam keadaan bergelut di dasar liga, mereka berjaya keluar daripada kelompok bawahan untuk meraih 12 mata.

“Bola itu bulat. Saya harap bola itu menyebelahi Kelantan FC. Apapun kita tidak mengaku kalah sebaliknya tetap akan beri saingan kepada mana-mana pasukan yang diundi akan menentang pasukan saya.”