Liga Super Malaysia Berita

JDT tamatkan musim Liga Super 2020 tanpa kalah

JDT menamatkan saingan Liga Super musim 2020 tanpa kalah selepas menewaskan Melaka United 5-0 di Stadium Hang Jebat.

Juara bertahan itu bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk mendahului menerusi jaringan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velazquez.

Empat minit kemudian, JDT menggandakan kedudukan menerusi penyerang Syafiq Ahmad yang mudah meloloskan diri dari pertahanan dan hanya perlu menolak lemah bola ke gawang gol.

JDT semakin selesa apabila Aidil Zafuan menanduk masuk sepakan penjuru untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-79.

JDT sekali lagi mendominasi pertarungan di udara apabila Fernando Rodriguez menanduk masuk gol keempat pada minit ke-85.

Gonzalo Cabrera melengkapkan kemenangan bergaya JDT dengan jaringan kelima pada masa tambahan.

Secara keseluruhan, JDT mencatatkan 9 kemenangan dan dua seri pada musim ini, meskipun hanya beraksi dalam 11 perlawanan dengan mengumpul 29 mata.

Ini kali kedua JDT mencatatkan rekod tanpa kalah dalam liga, selepas rekod itu pertama kali dicatatkan pada 2016, apabila JDT mencatatkan 18 kemenangan dan 4 seri dalam 22 perlawanan dengan mengumpul 58 mata.