Kedah terus menyalakan peluang untuk layak beraksi di Piala AFC musim 2021 apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, malam tadi.
Gol tunggal itu dijaringkan oleh Shakir Hamzah pada minit ke-19, yang menanduk masuk tendangan sudut yang disempurnakan oleh Kipre Tchetche.
Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bertali arus sehingga akhir perlawanan, namun tiada sebarang jaringan tambahan dapat dihasilkan sehingga wisel penamat.
Kemenangan ini menyaksikan Kedah kembali di tempat kedua carta liga dengan 19 mata, tujuh mata di belakang juara Johor Darul Ta’zim (JDT), diikuti Perak (18) di tempat ketiga dan Terengganu (16).
Skuad Helang Merah bagaimanapun tidak mempunyai sebarang pilihan selain daripada perlu menewaskan pasukan tempat ketiga Perak di Ipoh pada aksi terakhir liga 10 Oktober ini.