Liga Super Malaysia Berita

Selangor gagal? Ini luahan hati B Sathiananthan

B Sathianathan tidak menganggap pasukan Selangor dibawah kendaliannya gagal pada musim ini.

Ini meskipun beliau dipecat serta-merta selepas Selangor tewas 6-1 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

“Saya tetap bangga jadi pengendali Selangor, tetapi saya tidak dapat menjalankan tugas yang saya nak buat,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya tahu dengan tiga perlawanan akan datang dan menentang pasukan yang saya fikir boleh dapat sampai 9 mata, kedudukan Selangor akan berubah.

“Kalau kita nasib baik mungkin dapat berada di kedudukan kedua, jika tidak peluang sangat cerah untuk berada di kedudukan ketiga liga.

Malah, dalam saingan Piala Malaysia, jika kesemua pemain cergas dan tidak cedera, kemungkinan Piala Malaysia pun kita boleh harapkan sesuatu. Itulah harapan dan apa yang saya nak buat.”

Sathia juga menganggap Selangor beraksi dengan baik, tidak seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Macam selepas liga bersambung semula, dua perlawanan yang kita seri menentang PJ City FC dan Melaka United sepatutnya kita menang. Kalau lihat statistik, kita ada banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Jika menang kita sudah berada di kedudukan kedua dengan 14 mata. Tetapi, itulah perkara-perkara kecil yang buat saya sedikit kecewa dan tidak berlaku seperti yang diharapkan.”

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada pemain Selangor yang memberikan kerjasama kepada saya dan memberikan yang terbaik sepanjang saya mengendalikan pasukan. Saya menikmati setiap detik sepanjang hampir dua tahun saya di Selangor.”