Liga Super Malaysia Berita

FAS beri sebab Sathia dipecat sebelum Liga Super berakhir

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan pihaknya menamatkan kontrak jurulatih B. Sathianathan serta-merta kerana gagal mencapai prestasi yang dikehendaki.

Pemecatan Sathia berlaku selepas Selangor tewas 6-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Penting untuk kami mengambil tindakan drastik,” katanya kepada Astro Arena.

“Rata-rata penyokong Selangor mahukan kejayaan diraih Selangor dan diharap sesuatu yang positif dapat terhasil musim ini.”

Johan turut mendedahkan pemecatan Sathia bukan dibuat berdasarkan satu keputusan sahaja, sebaliknya telah lama dirancangkan oleh FAS.

“Sebenarnya beliau pun tahu, yang khidmatnya hanya sehingga musim ini kerana mulai tahun depan kita akan menggunakan jurulatih baharu.

“Walaupun menang piala sekali pun, kita tetap dengan perancangan untuk ambil jurulatih baharu dan itu sudah jelas kerana pihak pengurusan sudah ada arah tuju baru dalam bola sepak.”

FAS membuat keputusan untuk melantik Pengarah Teknikal, Michael Feichtenbeiner sebagai jurulatih sementara supaya jurulatih Jerman itu menerapkan DNA baharu dalam pasukan itu.

“Dalam struktur bola sepak Selangor kita nak masukkan struktur pengarah teknikal sebagai pegawai paling tinggi dalam Selangor. Kita nak perkenalkan struktur baharu, tapi untuk tahun pertama ini Sathianathan adalah jurulatih Liga Super bagi tahun kedua dan sebab itu kita kecilkan skop tugas pengarah teknikal supaya jaga Selangor II dan ke bawah.

“Maknanya peranan pengarah teknikal sekarang adalah untuk memperkenalkan sistem atau DNA bola sepak Selangor yang sama.

“Buat tahun ini Selangor 2 dan Piala Presiden dah gunakan cara yang sama, latihan yang sama dan kerjasama secara berkumpulan. Inilah perancangan jangka panjang Selangor diilhamkan oleh Raja Muda Selangor dan itu visinya.

“Bila tiba masanya pasukan Liga Super pun kenalah ikut serta dan selari. Dalam hal ini, Sathianathan sudah tahu dan kita di FAS mahu cara yang pengarah teknikal bawa. Bukan bermaksud cara Sathianathan tak bagus, tapi dia ada cara sendiri.

“Buat masa ini pengarah teknikal akan ambil sementara tugas Sathianathan dan musim depan akan ada jurulatih baharu yang akan ikut DNA Selangor di bawah pemantauan pengarah teknikal.

Bagaimanapun, Johan enggan mendedahkan calon jurulatih baharu bagi Selangor musim depan.

“Michael akan membuat perancangan lebih awal bagi musim hadapan dan pihak pengurusan telah menghubungi dengan beberapa pemain bagi merombak pasukan sekaligus membuat persiapan bagi ketua jurulatih baru pasukan yang mengambil alih pasukan ini nanti.”