Liga Super Malaysia Berita

FAS: Selangor bukan punca Sumareh tamatkan kontrak Pahang

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon mempertahankan tindakan pihaknya menawarkan kontrak kepada Mohamadou Sumareh.

Ini selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan segala butiran perjanjian antara Sumareh dengan Selangor, selepas pemain berusia 25 tahun itu meninggalkan Pahang untuk menyertai Police Tero FC.

“FAS bukan punca dia lari dari Pahang,” katanya kepada Harian Metro.

“Tawaran kami itu ikut cara yang betul dan tak salah. Kita tak langgar apa-apa peraturan. Saya pun siap minta kebenaran daripada FAM lagi, sebelum berunding dengan Sumareh untuk tahu tentang status dia.

“Dari pihak Selangor kita nak buat sesuatu dengan cara betul dan saya difahamkan kita boleh berunding dengan Sumareh berdasarkan perbualan saya dengan pengurusan tertinggi FAM.

“Saya boleh jamin itu bukan puncanya. Cuma saya tak boleh cerita lebih sebab nanti akan jadi lebih besar. Masalah dia dengan Pahang kami tak masuk campur.”

Johan turut mengesahkan bahawa tawaran gaji bernilai AS$17,000 (RM70,482) kepada Sumareh adalah benar.

“Seperti saya kata tadi, kita tak langgar apa-apa kesalahan. Tawaran itu biasa seperti kami tawarkan kepada mana-mana pemain lain. Sama ada dia nak terima atau menolak itu terpulang kepada Sumareh.

“Berkaitan proses rundingan yang dibuat sendiri Feichtenbeiner tak salah, kerana beliau adalah pengarah teknikal dan tahu apa corak dan DNA yang sesuai untuk Selangor.

“Bila kita merancang untuk tahun depan, kita akan merisik beberapa pemain tapi kita tak tandatangan sesiapa pun, cuma kita merisik mereka dan lihat apa faedah yang mereka boleh dapat kalau main dengan kita.

“Jadi Feichtenbeiner ini memang terbabit secara langsung dalam beberapa sesi rundingan kerana beliau yang akan rancang persediaan Selangor untuk musim depan.”

Jika Sumareh menerima tawaran itu, beliau dijangka sertai Selangor musim depan.