Liga Super Malaysia Berita

FAM: Hanya pemain import boleh bawa kes ke FIFA, Sumareh pemain tempatan

FAM: Hanya pemain import boleh bawa kes ke FIFA, Sumareh pemain tempatan

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan hanya pemain import yang boleh membawa kes ke FIFA, manakala pemain tempatan hanya perlu bawa kes ke FAM.

Ini selepas Mohamadou Sumareh membuat laporan rasmi kepada FIFA mengenai kelewatan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) melunaskan tunggakan gaji sepanjang pemain itu berkhidmat dengan pasukan itu.

“FAM dalam kedudukan bersedia menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan FIFA sama ada mereka mendengar laporan Sumareh itu ataupun tidak,” katanya kepada Bernama.

“Atau mereka tolak semula laporan itu kepada FAM. Kalau kes itu sudah dalam proses FIFA kita hanya boleh tunggu sampai ia berakhir.

“Soal FIFA nak ambil atau tidak kes itu bergantung sebab kebiasaannya hanya pemain asing boleh bawa kes ke FIFA dan bila melibatkan pemain tempatan prosesnya di dalam negara.

“Dalam konteks Sumareh, beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan.”

Sumareh memulakan karier bolasepaknya sebagai pemain import dari Gambia, namun telah menjadi warganegara Malaysia melalui proses naturalisasi pada 2018.

Bagaimanapun, Stuart berkata FIFA mungkin berminat untuk menyelesaikan kes tersebut kerana disifatkan agak berbeza dengan masalah yang dihadapi mana-mana pemain.

“FAM mesti tunggu sehingga FIFA habiskan proses itu baru FAM boleh ambil alih, itu pun kalau dapat kebenaran mereka. Kalau tidak, mungkin FIFA klasifikasikan ia sebagai kes istimewa yang mereka ingin juga dengar.”

Sumareh menyertai kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 Sept lalu, dua minggu selepas pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan tidak menjalani sesi latihan berpasukan selama sebulan.

Malah, Sumareh yang mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022, tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan Liga Super sebaik saingan Liga Malaysia bersambung pada 28 Ogos.