Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin akui Perak dan dua lagi pasukan Liga Malaysia mahukan khidmatnya

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin mengakui terdapat beberapa pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim ini.

Bukan sahaja Perak, tetapi dua pasukan dari Lembah Klang turut memantau perkembangannya ketika ini.

“Pengurusan pasukan Perak ada bertanya kepada saya,” katanya kepada Berita Harian.

“Namun ia cuma secara lisan dan perkara ini masih lagi di peringkat awal.

“Kedah adalah pilihan nombor satu buat saya dan walaupun Perak menunjukkan minat mereka, buat masa ini hati saya masih lagi bersama Kedah dan masih memiliki kontrak hingga hujung musim ini.

“Saya berazam mahu memberi khidmat terbaik untuk Kedah hingga ke hujung musim ini dan mahu fokus membawa Kedah sekali lagi ke peringkat akhir Piala Malaysia pada musim ini.”

Aidil juga mendedahkan beliau tidak membuat sebarang rundingan rasmi dengan mana-mana pasukan lain setakat ini.

“Saya masih tetap komited dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Kedah kepada saya buat masa ini.

“Saya cuma fokus dalam memberi khidmat terbaik dari hati saya untuk pasukan Kedah dalam membawa kejayaan buat skuad Lang Merah pada musim ini.”