Liga Super Malaysia Berita

Sumareh dedah sebab sebenar beliau tinggalkan Pahang

Mohamadou Sumareh akhirnya mendedahkan kisah disebalik keputusannya untuk meninggalkan Pahang dengan membatalkan kontrak bersama skuad Tok Gajah serta-merta.

Ini selepas Pahang mahu mengambil tindakan undang-undang berhubung perpindahannya ke kelab Thailand, Police Tero, yang dianggap tidak sah.

“Kenapa saya mahu terus bermain untuk pasukan yang melanggar perjanjian kontrak,” katanya kepada NST.

”Ramai mengatakan masalah berlaku sejak wabak COVID-19, namun masalah tunggakan gaji ini berlaku sejak tiga tahun lalu.

“Pemain mana yang akan berdiam diri begitu lama? “Kalau benar saya menipu. Saya mahu wakil dari pejabat Pahang FA cakap yang saya menipu. Saya kekal dengan pendirian saya kerana saya ada bukti.

“Perjanjian kontrak sepanjang tiga tahun ini tidak seperti apa yang dijanjikan, ini adalah kebenarannya.

“Sudah terlalu lama, tiga tahun. Saya hantar surat, emel tapi tidak ada satu pun jawapan balas daripada mereka untuk membincangkan perkara ini.

“Tapi tiada jawapan balas kepada saya, tiada siapa ajak berbincang. Saya ada bukti dan mungkin ia akan didedahkan satu hari nanti.”

Sumareh juga mendedahkan beliau cuba sedaya upaya untuk berbincang dengan Pahang FA antara 16 Jun dan 5 Julai dan menganggap Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah tidak diberitahu mengenai situasinya.

“Saya harap ada orang Pahang FA dedahkan perkara sebenar dan beritahu Tengku Muda. Saya yakin tengku tidak tahu situasi saya.

“Saya rasa Tengku Muda tidak tahu pun mengenai surat-surat saya. Saya tidak boleh mendahului pihak pengurusan dengan terus berhubung dengan big boss. Tapi bila saya pergi ke pejabat Pahang FA, mereka tidak endahkan masalah saya.

Apabila Sumareh sudah hilang sabar, beliau membuat keputusan untuk menghantar surat rasmi yang menyatakan rasa tidak puas hatinya dan mahu meninggalkan pasukan, namun Pahang masih tidak memberikan sebarang maklum balas.

Sumareh akhirnya bertindak menamatkan kontraknya menerusi klausa artikel 8.7.i di bawah seksyen Kontrak Pemain dan bertindak menyertai Police Tero.

Pahang pula mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Sumareh.

Dalam kenyataan, Pahang menafikan pihaknya gagal membayar gaji pemain mengikut perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.

Pahang juga menganggap tindakan Sumareh menamatkan kontrak adalah bertentangan dengan perjanjian atas sebab pemain masih mempunyai ruang untuk menyelesaikan perkara tersebut di peringkat dalaman.

Namun, Sumareh tidak kisah jika Pahang FA mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Saya bersedia untuk mempertahankan diri, jika mereka bawa perkara ini ke pengetahuan pihak FIFA.

“Saya ada bukti yang boleh menunjukkan apa yang menyebabkan semua ini terjadi.”