Liga Super Malaysia Berita

Melaka United selesai bayar semua tunggakan gaji musim ini

Melaka United akhirnya boleh menarik nafas lega apabila segala tunggakan gaji yang dihadapi sepanjang musim ini sudah diselesaikan sepenuhnya.

Ini bermakna, mereka tidak akan berdepan lagi dengan hukuman pemotongan mata dalam saingan liga musim ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) Mohd Ashiq Abd Samad berkata, semua tunggakan gaji itu sudah dibayar kepada pemain pasukan senior serta tunggakan gaji skuad Piala Presiden dengan bayaran kira-kira RM800,000.

“Melaka sudah bebas dengan isu tunggakan gaji diharapkan perkara terbabit tidak lagi dikaitkan dengan kami,” katanya kepada Harian Metro.

”Terima kasih kepada Presiden Melaka United, Datuk Sulaiman Md Ali yang bertungkus lumus menyelesaikan masalah tunggakan gaji pasukan.”

Langkah segera untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji itu adalah untuk memudahkan Melaka mendapatkan lesen kelab serta melalui proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC dengan lancar pada hujung bulan ini.

”Sekarang ini, kami mahu menumpukan kepada proses penswastaan dan memastikan pasukan utama berada di kedudukan terbaik musim ini,” kata Ashiq.

Melaka berada pada tangga kelima dalam Liga Super, dengan mengumpul 9 mata daripada enam perlawanan.