Malaysia Berita

RASMI: Mohamadou Sumareh sertai Police Tero FC

Mohamadou Sumareh akhirnya menamatkan spekulasi mengenai statusnya apabila sah menyertai Police Tero FC secara rasminya hari ini.

Penyertaan itu disahkan menerusi pengumuman rasmi kelab Thailand itu, pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Thailand.

“Sumareh adalah pemain kebangsaan Malaysia yang pernah menjaringkan gol ketika menewaskan pasukan Thailand ketika kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 November lalu,” kata Police Tero menerusi akaun Facebook rasminya.

“Sumareh akan memakai nombor 13 untuk Police Tero bagi saingan musim baru Liga Thai. Namun disebabkan beliau masih menjalani kuarantin ekoran COVID-19, beliau tidak dapat beraksi dalam perlawanan terdekat.

“Peminat Silver Shields Dragon, ucap selamat datang kepada pemain baru anda.”

OFFICIAL !"มังกร​โล่​เงิน" โปลิศ​ เท​โร​ เอ​ฟซี​ คอน​เฟิร์มคว้าตัว โมฮามาดู ซูมาเรห์ ดาวเตะลูกครึ่งมาเลเซีย-แกมเบีย…

Posted by Police Tero FC on Monday, September 7, 2020

Ini merupakan kali pertama Sumareh beraksi di liga di luar negara, selepas memulakan karier di PDRM pada 2013, sebelum berhijrah ke Perlis pada 2016 dan kemudiannya menyertai Pahang pada 2017, kelab yang diwakilinya selama empat musim.

Sumareh bagaimanapun tidak keseorangan di Police Tero apabila beliau akan menjadi rakan sepasukan dengan pemain pertahanan negara, Dominic Tan yang berhijrah ke kelab itu awal musim ini.

Ini bermakna Sumareh merupakan pemain ketiga Malaysia beraksi di Thailand musim ini, selepas Dominic dan Norshahrul Idlan Talaha yang kini beraksi dengan BG Pathum United.