Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Liga Super: JDT tewaskan Pahang di Kuantan, kekalkan rekod tanpa kalah

JDT raih kemenangan berharga apabila menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur.

Pasukan Harimau Selatan itu mendahului menerusi sepakan percuma Leandro Velazquez pada minit ke-5.

JDT menggandakan gol kedua menerusi jaringan pemain muda Ramadhan Saifullah pada minit ke-15.

JDT semakin selesa apabila Gonzalo Cabrera menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-35.

Pasukan pelawat bagaimanapun dikejutkan dengan gol pertama Pahang apabila Faisal Halim berjaya mencuri bola dari kaki Farizal Marlias dan mudah menolak masuk pada minit ke-40.

Gol itu seolah-olah mengembalikan semangat kepada Pahang apabila sekali lagi berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Harold Goulon pada minit ke-45, menjadikan keputusan 3-2 pada separuh masa pertama.

Keputusan itu bagaimanapun kekal sehingga ke masa penuh, dengan JDT mendominasi permainan, menggagalkan usaha Pahang untuk menjaringkan gol penyamaan.

Benjamin Mora membawa masuk Safawi Rasid di separuh masa kedua, dan pemain itu mempunyai peluang untuk melebarkan jurang namun percubaannya berjaya dihalang oleh penjaga gol Pahang, Sarbinee Allawee.

Kemenangan itu bermakna JDT kekal selaku pendahulu Liga Super dan mengekalkan rekod tanpa kalah, dengan empat kemenangan dan satu seri.

Di Ipoh, Perak dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Melaka United.

Ferris Danial Mat Nasir menjaringkan satu-satunya gol pada minit ke-51 apabila bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Perak, Nasrullah Abdul Aziz.

Di Jengka, Felda United turut mengalami kekalahan 1-0 di laman sendiri apabila tunduk kepada pasukan universiti, UiTM FC menerusi jaringan tunggal Mark Hartmann pada minit ke-38.