Liga Super Malaysia Berita

TMJ: Safawi akan berhijrah selepas tamat saingan Liga Super musim ini

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa bintang JDT, Safawi Rasid akan dilepaskan selepas tamat saingan Liga Super musim ini.

Ini selepas kelab yang berpangkalan di selatan Malaysia itu menerima tawaran rasmi daripada sebuah kelab Portugal, Portimonense bagi mendapatkan khidmat Safawi dan kini berada dalam rundingan akhir.

“Kelab akan lepaskan selepas habis liga,” katanya menerui akaun Instagram rasmi miliknya.

“Semoga berjaya Safawi. Terengganu yang mengasah bakat Safawi, JDT pula mengubah Safawi menjadi bintang.

“Beliau adalah juara liga, juara Piala FA, juara Piala Malaysia dan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dua tahun berturut-turut. Syabas. Semoga berjaya.”

Ini bermakna, Safawi masih akan beraksi dalam Liga Super yang akan tamat pada awal Oktober, namun ini adalah musim terakhir Safawi akan beraksi di Malaysia.

Pada masa sama, Safawi juga kemungkinan tidak akan beraksi dalam saingan Piala Malaysia dan ACL musim ini.