Liga Super Malaysia Berita

Penyokong: Di mana lagi kami boleh tonton Liga Malaysia?

Beberapa kelab penyokong menggesa MFL supaya menyiarkan saingan Liga Malaysia di stesen televisyen percuma seperti RTM dan TV3.

Ini selepas semua perlawanan Liga Malaysia hanya boleh ditonton di stesen televisyen berbayar atas talian, Unifi TV selaku penyiar rasmi liga.

Malah, penyokong masih tidak boleh menyaksikan perlawanan di stadium kerana kerajaan hanya membenarkan saingan Liga Malaysia diadakan tanpa penonton.

“Kami sebenarnya agak kecewa kerana tidak semua yang boleh melanggan Unifi untuk menonton perlawanan yang akan disiarkan nanti,” kata Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor, Mohd Faizal Wahid kepada Sinar Harian.

“MFL mungkin boleh mempertimbangkan untuk memberikan hak penyiaran kepada stesen televisyen.

“Dengan cara itu, semua peminat dan penyokong dapat menyaksikan perlawanan bola sepak. Kalau langgan pakej di Unifi kena ada internet lagi. Kalau yang tak ada internet macam di kampung-kampung macam mana pula?

“Sebab itu MFL kena kaji balik perkara ini. Kalau tak sempat, mungkin mereka boleh pertimbangkan untuk Piala Malaysia.”

Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Kedah, Fazli Mansor pula berpendapat tidak semua penyokong mahu menonton perlawanan bolasepak di internet.

“Dalam dunia serba canggih ini mungkin ada juga orang tak pandai guna internet dan media sosial. Jadi alternatif paling baik adalah dapat menonton di televisyen.

“Mungkin boleh muat turun aplikasi Unifi itu dalam telefon, tapi takkan lah satu keluarga nak tengok siaran langsung kat telefon tu. Dalam keadaan Covid-19 ini tak boleh pergi stadium, mana lagi tempat yang boleh tengok bola?”