Liga Super Malaysia Berita

Nik Akif: KAFA mahu menjual saya? Saya masih sayangkan Kelantan

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat mengakui dia tidak terkesan dengan spekulasi yang mengaitkan perpindahannya pada musim depan.

Ini selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dilaporkan berancang untuk melepaskan beberapa pemain termasuk Nik Akif yang bernilai RM1 juta bagi mengurangkan beban hutang yang dihadapi pasukan ketika ini.

KAFA kemudian menegaskan mereka tidak akan sama sekali melepaskan Nik Akif, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat.

“Saya ada baca laporan media mengenai kesediaan KAFA untuk menjual saya tetapi secara jujur, saya tidak mengambil kisah atau tertekan dengan situasi tersebut,” katanya kepada Kosmo.

“Secara jujur, saya masih sayangkan pasukan Kelantan dan cukup fokus untuk mengharungi baki saingan musim ini.

“Jika boleh saya mahu terus berbakti memandangkan kontrak saya tamat pada 2021.”

Isu di luar padang bagaimanapun seolah-olah langsung tidak menjejaskan Nik Akif dan rakan sepasukannya apabila Kelantan menang bergaya 5-1 ke atas UKM FC semalam.