Liga Super Malaysia Berita

Melaka United guna logo baharu bermula musim 2021

Melaka United menjadi pasukan pertama yang memperkenalkan logo baharu pasukan dalam era penswastaan kelab dan akan digunakan bermula musim depan.

Logo Melaka United baharu itu menampilkan rekaan pohon bertemakan warna hijau dan putih bagi melambangkan identiti pokok Melaka dan negeri Melaka.

Dahan-dahan itu jika dilihat dengan teliti melambangkan manusia, dan menurut pasukan itu, ia menunjukkan rakyat Melaka bersatu padu dalam memberi sokongan yang tidak berbelah pada pasukan itu.

Logo itu direka oleh penyokong Melaka, Mohd Asri Ab Aziz, yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo Melaka United.

Inilah logo baharu yang bakal digunakan Kelab Bolasepak Melaka United FC bermula musim 2021 yang telah dilancarkan oleh…

Posted by Melaka United Soccer Association – MUSA on Saturday, August 22, 2020

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, logo itu menandakan bahawa ini merupakan tahun terakhir pasukan Melaka United diuruskan oleh pihak persatuan.

“Kini selepas 96 tahun, sudah tiba masanya untuk Melaka United bergerak sendiri,” katanya kepada Bernama.

“Ini menerusi penswastaan kelab sebagai syarat wajib bagi menyertai Liga Malaysia bermula musim 2021, dan bakal dijenamakan sebagai Kelab Bola Sepak Melaka United atau Melaka United Football Club.

“Namun, MUSA akan kekal sebagai badan pentadbir bola sepak negeri dan dengan penswastaan ini, saya berharap Melaka United akan mencapai lebih banyak kejayaan.”