Liga Super Malaysia Berita

MFL akhirnya benarkan perlawanan persahabatan

Setelah lima bulan saingan Liga Malaysia tertunda akibat wabak COVID-19, MFL akhirnya membenarkan semua pasukan mengadakan perlawanan persahabatan.

Keputusan itu dibuat selepas semua pasukan dibenarkan mengadakan sesi latihan tanpa sentuhan fizikal pada 15 Jun dan sesi latihan bersentuhan mula dibenarkan pada 15 Julai.

Kebenaran untuk mengadakan perlawanan persahabatan juga adalah sebagai persiapan terhadap saingan Liga Malaysia yang bakal bersambung pada 26 Ogos ini.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan, keputusan membenarkan perlawanan persahabatan dibuat sedikit lewat kerana setiap pasukan perlu berada dalam tempoh bertenang bermula 29 Julai sehingga 2 Ogos.

Katanya, ini bagi memastikan tiada pegawai, pemain mahupun pasukan yang terlibat dengan wabak COVID-19.

“Tempoh bertenang ini adalah bagi penilaian dan pemantauan bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan tetapi Latihan Pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, perlawanan persahabatan hanya dibenarkan kepada pasukan berstatus CIMB Liga Super dan Liga Premier sahaja.

Malah semua pasukan hanya dibenarkan beraksi di venue yang telah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan.

“Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue yang didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Perlawanan tersebut hendaklah dimainkan tanpa penonton di mana hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) sahaja dibenarkan berada di dalam stadium atau venue perlawanan,” kata Ghani.

Setakat ini, tiga perlawanan persahabatan akan diadakan pada minggu ini.

Pasukan terawal yang akan mengadakan perlawanan persahabatan adalah Selangor berdepan Pulau Pinang di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 5 Ogos.

Dua perlawanan persahabatan lagi akan diadakan pada 7 Ogos iaitu antara UiTM FC dan Pulau Pinang di Stadium UiTM Shah Alam manakala Kelantan United FC akan bertemu Terengganu FC II di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.