E-Football Berita

Lebih 200,000 tonton Kejohanan eMFL 2020 di media sosial

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Dato’ Ab Ghani Hassan berpuas hati dengan sambutan Kejohanan eMFL yang diterima oleh peminat e-sukan selepas berjaya mencapai tontonan sehingga 280,000 penonton di laman sosial.

Kejohanan yang julung kali diadakan pada musim ini telah berlangsung bermula 1 Julai lalu, disiarkan secara langsung dalam talian Facebook MFL, eMFL dan Gamesbond.

Jelas Dato’ Ab Ghani, meskipun kejohanan tersebut dianjurkan secara sederhana ekoran pandemik COVID-19, beliau menyifatkan sambutan yang diterima di laman sosial sepanjang lapan hari berlangsung begitu memberangsangkan menerusi gambar dan video di laman sosial yang turut berjaya mengumpul capaian sebanyak 3 juta.

“Sudah pasti ia satu impak yang cukup baik telah kita terima mengenai e-sukan di negara ini lebih-lebih lagi eMFL pertama kali diadakan pada musim ini.

“Dan menerusi laporan yang kita terima daripada segi hasil tontonan di laman Facebook, cukup memberangsangkan dan untuk kita, tanpa ragu-ragu lagi, kita akan terus mengadakan kejohanan eMFL 2021 pula pada musim hadapan.

“Ini merupakan gambaran yang cukup baik untuk arena e-sukan dan dalam masa yang sama peluang untuk penyokong-penyokong mengisi masa mereka menyaksikan aksi bola sepak dalam talian memandangkan perlawanan sebenar di stadium tertangguh sebelum ini.

“Kita harapkan penyertaan yang lebih ramai lagi pada musim hadapan dan pemain-pemain ini akan terus berkembang pada masa hadapan dalam arena e-sukan FIFA ini,” jelasnya.

Dalam Majlis Penyampaian Hadiah eMFL 2020 hari ini, Mohd Faiz Hariry atau Favlain yang mewakili pasukan Terengganu FC dinobatkan sebagai juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyakk RM1,300, trofi, monitor permainan BenQ dan sijil penghargaan.

Ini merupakan kemenangan kedua bagi pasukan Terengganu FC selepas kali pertama menjuarai Kejohanan ePiala Malaysia 2019 menerusi pemain, Luqman Haziq Hajiman.

“Saya bersyukur kerana berjaya memenangi kejohanan ini buat pertama kalinya dan sudah pasti ingin mempertahankan kejuaraan sama pada musim depan pula.

“Secara keseluruhan, memang saingan ini cukup mencabar kerana saya tidak sangka dapat menang apatah lagi pencabar lain cukup hebat.

“Saya ingin terus sertai kejohanan ini pada musim depan dan terima kasih diucapkan kepada semua termasuklah pasukan TFC yang banyak beri sokongan”, katanya.

Naib juara dimenangi oleh Muhammad Imran Burhanudeen mewakili Kedah dan tempat ketiga diraih oleh pasukan JDT menerusi pemain, Luqman Haziq Hajiman.

Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL, Razali Dolhan serta penaja utama, Telekom Malaysia diwakili oleh Pengurus Besar TM, Petaling Jaya, Tuan Hamidun Ismail dan Pengurus Pemasaran BenQ, Vincent Chin.