Malaysia Berita

Wan Kuzri enggan bandingkan bolasepak Amerika dengan Malaysia

Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal akhirnya menyertai latihan skuad negara buat pertama kali bagi menghadapi Kejohanan AFC 2020 Bawah 19 Tahun.

Ini setelah pemain akademi kelab Amerika Syarikat, St Louis FC yang berusia 18 tahun itu melengkapkan kuarantin dan diuji negatif COVID-19 dalam dua ujian saringan selepas tiba dari luar negara.

“Saya akan lihat bagaimana saya boleh membantu pasukan, secara jujurnya saya tidak fikir sangat apa yang diharapkan. Saya hanya mahu sertai pasukan dan bermain,” katanya Wan Kuzri kepada Bernama.

Sudah tentu peminat meletakkan harapan tinggi kepada Wan Kuzri selaku pemain Amerika yang menerima tahap pendidikan bolasepak yang lebih tinggi dan berkualiti.

Bagaimanapun, Wan Kuzri enggan membandingkan tahap permainan kualiti antara dua negara.

“Saya hanya mahu membuktikan kemampuan kepada barisan jurulatih dan cuba memahami serta biasakan diri bersama rakan yang lain.

“Bola sepak Malaysia dan Amerika Syarikat tidak banyak beza cuma mereka memiliki kelebihan fizikal.”

Pemain berusia 18 tahun itu antara 33 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan yang bermula minggu lalu.

Wan Kuzri juga mengakui abangnya Wan Kuzain banyak memberikan nasihat kepadanya sebelum menyertai skuad negara.

“Dia berpesan inilah masanya untuk menimba ilmu dan pengalaman di peringkat lebih tinggi terutama dapat mewakili skuad kebangsaan.”