Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia musim 2020 akhirnya kembali

Liga Malaysia musim 2020 akhirnya kembali bersambung pada 26 Ogos selepas enam bulan ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding.

Malah, beliau percaya tarikh baharu saingan Liga Malaysia tersebut adalah yang terbaik buat kesemua pasukan dibenarkan berlatih secara bersentuhan bermula 15 Julai lalu.

“Untuk memulakan kembali Liga Malaysia 2020, beberapa perkara perlu dipatuhi oleh semua pasukan di mana setiap stadium atau venue perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan oleh MFL serta wajib menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi.

“Komisioner Perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaan stadium atau venue perlawanan sebelum liga dimulakan dan Operasi Standard Prosesur (SOP) pengelolaan perlawanan akan diedarkan oleh MFL kepada semua pasukan kelak.

“Pihak MFL juga sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan. Apa yang pasti, kita memang sudah bersedia untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

MFL kekal dengan format pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier di mana saingan secara separuh liga sahaja.

Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

Begitu juga dengan pertandingan TM Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, perlawanan tertunda yang menemukan PJ City FC menentang Terengganu serta perlawanan Liga Premier, UKM FC bertemu Kelantan akan diadakan pada 22 Ogos.

“Pasukan tuan rumah iaitu PJ City FC dan UKM FC hendaklah memastikan pelan kawalan keselamatan, persediaan stadium atau venue perlawanan, petugas-petugas stadium diatur dan disediakan dengan cukup rapi,” kata Ghani.

Dalam perkembangan sama, Ghani menegaskan kesemua pasukan tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 15 sehingga 28 Julai.

Namun pasukan-pasukan berstatus dari CIMB Liga Super dan Liga Premier hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan pada 2 Ogos 2020 sebaik tamat tempoh bertenang bermula 29 Julai dan tamat pada 1 Ogos.

“Tempoh ini adalah bagi penilaian dan pemantauan simptom COVID-19 bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan di mana latihan pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini.

“Berkenaan perlawanan persahabatan, MFL mengalakkan pasukan mengadakan perlawanan di antara wakil Liga Malaysia iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier sahaja kerana pasukan ini telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) dan memahami SOP yang telah ditetapkan.

Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue perlawanan sahaja dan stadium tersebut hendaklah didaftarkan di MITI.

Stadium-stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan.

Perlawanan persahabatan juga hendaklah dimainkan tanpa penonton dengan hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) sahaja dibenar berada di stadium.