Liga Super Malaysia Berita

MFL benarkan latihan fasa kedua, tapi bukan perlawanan persahabatan

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mendedahkan pihaknya sememangnya bersedia untuk membenarkan pasukan Liga Malaysia mengadakan latihan fasa kedua tapi masih belum membenarkan perlawanan persahabatan.

Ini selepas kerajaan membenarkan sukan bolasepak mengadakan latihan secara bersentuhan pada 15 Julai dan pertandingan Liga Malaysia dibenarkan pada 15 Ogos.

“Buat masa ini, MFL masih belum memberi kebenaran kepada semua pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan kerana kita mahu pasukan fokus dalam mematuhi SOP Latihan Pasukan Fasa II namun kita akan mempertimbangkan untuk membenarkan pasukan mengadakan perlawanan persahabatan pada waktu yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Ghani mendedahkan Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tarikh rasmi Liga Malaysia 2020 setelah menerima laporan penuh persiapan untuk penyambungan liga daripada Sekretariat MFL.

“Banyak faktor perlu diambil kira untuk kita menyambung kembali saingan Liga Malaysia yang tertangguh akibat penularan COVID-19 sejak 16 Mac lalu.

Kita perlu memastikan semua pasukan memiliki cukup masa untuk mempersiapkan pasukan supaya kita dapat melihat saingan lebih kompetitif dan berkualiti apabila liga kembali bersambung.

“Kita juga mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan pemain jika kita tergesa-gesa untuk memulakan saingan liga ketika pemain masih belum bersedia dengan tahap fizikal terbaik.

“Selain itu pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue-venue yang akan bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses disinfeksi dan nyahcemar venue perlawanan.

“Semua pasukan digesa untuk menjalankan proses penyelengaraan dan baikpulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan.”

Dalam jadual yang dirombak oleh MFL, CIMB Liga Super, Liga Premier akan bersambung pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober hingga 7 November.