Liga Super Malaysia Berita

Sathia beri sebab Liga Malaysia perlu disambung semula pada Ogos

Jurulatih Selangor, B Sathiananthan menganggap Tan Cheng Hoe akan mempunyai lebih banyak masa untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan jika Liga Malaysia bermula lebih awal.

Ini selepas Tan Cheng Hoe mengakui mempunyai masa seminggu sahaja untuk membentuk pasukan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada Oktober depan.

Sathia menjelaskan, Cheng Hoe terpaksa berdepan dengan kemungkinan para pemain mengalami kecederaan kerana jadual liga yang padat.

“Pemain-pemain mungkin akan mudah mengalami masalah kecederaan kerana jadual yang padat. Mereka tidak ada waktu rehat yang cukup kerana perlu menyudahkan tujuh perlawanan,” kata Sathia kepada Sinar Harian.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahu menurunkan pemain-pemain utama untuk ketujuh-tujuh perlawanan itu. Risiko kecederaan akan menjadi tinggi dan sudah tentu akan memberikan masalah kepada Cheng Hoe.

“Cheng Hoe juga akan menghadapi masalah kesuntukan masa untuk menyiapkan pasukan kerana liga akan berakhir pada penghujung bulan September. Cheng Hoe juga memerlukan waktu untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan sebagainya.”

Justeru, Sathia mencadangkan Liga Malaysia musim 2020 disambung semula pada bulan Ogos.

“Elok kita mula pada 15 Ogos atau lebih awal. Ia akan memberi waktu rehat lebih lama kepada para pemain untuk mengharungi tujuh perlawanan itu. Jadi risiko kecederaan akan kurang.

“Cheng Hoe juga akan mempunyai lebih masa daripada jangkaan seminggu kepada mungkin dua minggu. Ia sudah tentu akan melegakannya dan mungkin boleh atur perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan.”

Tambah Sathia, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan latihan secara fizikal akan dibenarkan secepat mungkin dan liga dapat disambung lebih awal.

“Pematuhan SOP ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan kelonggaran kepada setiap pasukan memulakan latihan penuh dan saingan liga berlangsung lebih awal.”