Luar Negara Berita

KAFA sedia beri bantuan kewangan kepada Allee Putra di Sepanyol

KAFA sedia memberi bantuan kewangan kepada keluarga pemain muda Allee Putra Azril di Sepanyol, meskipun badan itu sendiri berdepan dengan masalah kewangan dan bebanan hutang sebanyak RM5 juta.

Ini selepas pemain 15 tahun itu yang berasal dari Bachok menandatangani kontrak bersama FC Malaga City selama semusim dan akan menyertai akademi bolasepak itu pada 1 September ini.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata pihaknya sentiasa memberikan khidmat nasihat kepada Allee dan sedar dengan bebanan kewangan di Eropah.

“Sebelum ini, ada ahli keluarga pemain meminta bantuan kewangan dan khidmat nasihat berkaitan Allee untuk beraksi di FC Malaga City,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kami akan cuba apa yang termampu. Keadaan sekarang kita tak boleh tolong banyak kerana KAFA juga menghadapi masalah kewangan.”

FC Malaga City Academy sebelum ini mengumumkan penyertaan Allee selepas tertarik dengan prestasi pemain muda itu ketika beraksi dalam sesi pemilihan UK Football Trial.

Akademi itu juga mendedahkan, Allee akan menyertai tiga lagi pemain Malaysia iaitu Devekumaran Muniswaran, Mubashshir Azizi dan Muhammad Aniq.

Menurut laman web FC Malaga City, segala kos latihan, penginapan dan makan minum berjumlah €15,750 semusim ditanggung sepenuhnya oleh akademi.

Akademi elit itu sering mengumpulkan pemain muda dari pelbagai negara malah banyak mengatur perlawanan dengan akademi yang dimiliki kelab gergasi Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid dan Valencia.

FC Malaga City bagaimanapun tiada kaitan dengan Malaga CF, kelab profesional yang kini beraksi di liga divisyen kedua Sepanyol.

Namun, pemain akademi itu berpeluang untuk menyertai dengan salah satu pasukan Liga Sepanyol, termasuklah di La Liga.

Akademi itu mengendalikan empat pasukan berbeza, iaitu pasukan senior, pasukan B-23, B-19 dan pasukan wanita.

Pasukan senior akademi itu dikenali sebagai CD Almunecar yang bersaing dalam Liga Divisyen Ke-6 Sepanyol.

Almunecar terletak 75km dari bandar Malaga dan 79km dari bandar Granada.