Malaysia Berita

Ejen: Luqman akan buat keputusan sertai pasukan baharu bulan ini

Luqman Hakim Shamsudin akan membuat keputusan untuk menyertai pasukan baharu selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Ini selepas Berita Harian melaporkan bahawa ejennya Lionel Foy mendedahkan kliennya menjadi tarikan beberapa kelab Eropah seperti Newcastle United dan Bayer Leverkusen.

“Dua pasukan ini menunjukkan minat yang mendalam dan bersedia meletakkan tawaran secara rasmi kepada Luqman. Mungkin juga ada beberapa pasukan akan melakukan perkara yang sama selepas ini.

“Dia belum lagi membuat keputusan. Kami akan meneliti semua cadangan yang ditawarkan dan selepas itu, barulah kami akan putuskan mana yang terbaik untuk dia dan keluarganya.

“Kalau boleh, kami mahu selesaikan perkara ini pada bulan ini juga.”

Ini bermakna Luqman akan membuat keputusan sama ada akan meneruskan rancangan asal untuk menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk atau kelab lain.