Malaysia Berita

Skuad B-19 negara bakal mulakan misi layak ke Piala Dunia B-20

Skuad B-19 negara bakal membawa misi yang paling mencabar iaitu melayakkan diri ke Piala Dunia B-20.

Ini selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Qatar, Tajikistan dan Yemen yang akan bersaing pada Kejohanan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan mulai 14 hingga 31 Oktober depan.

Pengurus skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata barisan jurulatih yang diketuai Brad Maloney sudah memulakan rancangan untuk menyenaraikan pemain-pemain terbaik sebelum mengadakan kem latihan pusat.

“Kami kini dalam proses mengumpul barisan pemain seramai yang boleh daripada pasukan kelab, negeri untuk mulakan sesi latihan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kami akan minta pihak pengurusan kelab, pasukan negeri untuk melepaskan pemain mereka. Kami akan cuba mengumpul seberapa ramai pemain pada peringkat awal latihan ini terutamanya yang tidak ada komitmen dengan kelab atau pasukan negeri.

“Bagi saya, tidak ada masalah untuk mengumpulkan para pemain kerana saingan bagi Piala Belia dan Piala Presiden telah dibatalkan. Cuma kami berharap kelab, pasukan negeri dapat memberikan pelepasan kepada pemain-pemain untuk mengikuti latihan.”

Malaysia perlu layak sehingga ke separuh akhir kejohanan, barulah boleh layak beraksi di Piala Dunia B-20, malah berpeluang untuk bertemu Indonesia selaku hos kejohanan, tahun depan.