Liga Super Malaysia Berita

Terengganu libatkan hanya 10 pemain dalam setiap sesi latihan

Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mendedahkan bahawa pasukannya sudah merangka pelan yang hanya melibatkan 10 orang pemain dalam setiap sesi latihan.

Ini selepas kesemua pasukan Liga Malaysia dibenarkan untuk mengadakan sesi latihan di padang bermula 15 Jun, walaupun tanpa sentuhan fizikal.

Bagaimanapun, Nafuzi mengakui ia merupakan satu cabaran untuk memastikan barisan pemainnya berada pada tahap yang terbaik selepas tiga bulan tidak beraksi.

“Saya tidak nafikan sememangnya wujud sedikit kesukaran kerana kita bakal menjalani latihan dengan cara yang sedikit berbeza walaupun ianya dijalankan secara berkumpulan dan bukan lagi individu,” kata Nafuzi menerusi kenyataan di akaun Facebook rasmi pasukan Terengganu.

“Ianya amat berbeza bagi setiap pemain bola sepak apabila mereka beraksi bukan dalam kecergasan yang baik secara fizikal dan mental dan semestinya ini untuk mengelakkan daripada mereka mudah mendapat kecederaan ketika perlawanan yang dijangka hadir dengan jadual yang sedikit padat.”

“Saya cuba memastikan setiap pemain dapat cepat adaptasi dengan situasi latihan dan semestinya saya mengharapkan setiap pemain dapat mengembalikan kecergasan mereka sebelum liga kembali berlangsung.”

Nafuzi masih belum dapat menetapkan tarikh untuk sesi latihan pertama kerana perlu menunggu keputusan daripada ujian saringan COVID-19.

Namun, jurulatih Terengganu itu yakin pasukannya akan kembali pada tahap kecergasan dan prestasi terbaik tidak lama lagi.

“Kesemua pemain sangat bermotivasi dan mereka semua sudah tidak sabar untuk kembali menjalani latihan dan membina kembali apa yang mereka semua sedang cuba usahakan bersama pasukan Terengganu.

“Sememangnya wabak yang melanda sedikit merencatkan usaha kita, namun kita akan kembali bangkit.

“Bola sepak hari ini adalah bola sepak yang sangat berbeza, jika kita lalai, kita akan ketinggalan.”