Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia: Pasukan perlu ambil 4 langkah dalam mematuhi SOP sesi latihan

Semua pasukan Liga Malaysia perlu mengambil empat langkah penting bagi mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) sebelum dibenarkan untuk turun ke padang bermula 15 Jun ini.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, empat aspek itu amat penting supaya pendekatan yang diambil pasukan tidak melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya mengharapkan kerjasama daripada semua pasukan dalam soal ini agar dapat memberikan kelancaran selepas mereka diberi kebenaran mengadakan latihan namun dalam waktu yang sama, kita dapat membendung wabak COVID-19 ini.

“Jika semua pasukan mampu penuhi setiap SOP yang digariskan pada sesi latihan Fasa 1 ini dan kes terbaharu wabak terus mencatatkan jumlah yang rendah, kita mungkin dapat melakukan latihan secara kontak bagi sesi Fasa 2.

“Sebab itu saya mengharapkan kejujuran daripada semua pasukan dalam pematuhan SOP ini bagi memastikan tiada halangan untuk semua pasukan mengadakan latihan.”

4 Langkah Awal Sebelum Memulakan Sesi Latihan

-Setiap pemain perlu menjalani ujian calitan atau swab test dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL setelah disahkan oleh doktor pasukan.

-Pasukan perlu melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.

-Pasukan perlu menamakan pusat latihan yang mesti diadakan di tempat tertutup bagi mengelakkan berlaku perkumpulan orang ramai di tempat latihan

-Pasukan perlu mendaftarkan venue latihan melalui pautan notification.miti.gov.my (MITI).