Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA bakal lantik presiden baharu minggu ini

Selepas tiga minggu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Asmirul Anuar Aris meletakkan jawatan dalam Kedah FA, badan bolasepak negeri itu dijangka melantik tidak lama lagi.

Sinar Harian melaporkan bahawa pasukan dari Utara Malaysia itu akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu untuk membincangkan tarikh mesyuarat agung luar biasa bagi mendapatkan senarai pencalonan daripada badan gabungan KFA.

Laporan itu menyatakan, jika terdapat lebih daripada seorang calon, badan gabungan KFA yang terdiri daripada 36 kelab penyokong akan membuat undian dalam mesyuarat itu.

Presiden yang dilantik nanti akan memilih barisan pengurusan pasukan, termasuk setiausaha kehormat.

Kelewatan pelantikan presiden baharu selepas pertukaran kerajaan merunsingkan pelbagai pihak, terutamanya pemain dan kakitangan pasukan yang masih tidak mendapat bayaran gaji sejak bulan Februari.

Dalam pada itu, jurulatih Kedah, Aidil Sharin mengakui bimbang pasukannya akan hilang motivasi begitu sahaja jika isu tunggakan gaji masih tidak diselesaikan.

“Jujur saya dan pasukan semakin risau memikirkan isu tunggakan gaji yang berlarutan, kami menantikan jawapan terhadap persoalan itu.

“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera supaya semangat dan moral pemain dapat ditingkatkan kembali.

“Sebagai jurulatih, saya juga perlu memastikan semangat semua pemain tidak terjejas dan jika isu gaji ini tidak diselesaikan segera, sukar bagi saya memainkan peranan yang terbaik dalam membentuk pasukan.”