Liga Super Malaysia Berita

Selangor: SOP sesi latihan tidak langgar MKN

Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid tampil mempertahankan keputusan pasukannya yang merancang sesi latihan di padang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, program sesi latihan pasukan Selangor dibuat dengan teliti dan tidaklah sehingga melanggar peraturan MKN.

“Saya telah melakukan rancangan latihan yang tidak melibatkan sentuhan, berlandaskan individu seperti larian,” katanya kepada Astro Arena.

“Mungkin sesetengah jurulatih berasakan kami mendahului yang lain, ingin tunjuk bagus, tetapi banyak perkara yang kami fikirkan dan mahu memastikan setiap pemain kekal cergas walaupun ketika penangguhan saingan ketika ini.”

Tambah Mahfizul, FAS akan merujuk MKN dalam masa terdekat.

“Kami enggan memberikan persepsi buruk bahawa persatuan negeri mahu membahayakan keselamatan pemain-pemain ketika penularan Covid-19 ketika ini. Kami mahu memastikan setiap SOP yang dikeluarkan masih lagi mengikut apa yang telah ditetapkan MKN.”

Setakat ini, hanya Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah yang sudah merancang untuk mengadakan sesi latihan di padang pada bulan Jun.