Liga Super Malaysia Berita

MFL larang pasukan Liga Malaysia adakan sesi latihan di padang

MFL melarang semua pasukan Liga Malaysia daripada mengadakan sebarang aktiviti bola sepak termasuk mengadakan sesi latihan sehingga mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

Pendirian MFL itu selaras dengan keputusan MKN yang melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun.

Ia juga selepas Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti bolasepak termasuk sesi latihan di padang ketika PKPB masih berkuatkuasa.

“Buat masa ini sukan bola sepak tidak termasuk di dalam antara sukan yang diluluskan penganjurannya,” kata Ab Ghani.

“Sebarang aktiviti seperti latihan pasukan, perlawanan persahabatan dan pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan seperti yang telah dikuatkuasakan oleh MKN sebelum ini.

“Jika ada pasukan yang mengadakan sebarang aktiviti bola sepak tanpa kebenaran MKN, ia jelas melanggar peraturan di bawah Akta 342.”

Ghani turut memberikan amaran bahawa tindakan keras akan dikenakan kepada pasukan Liga Malaysia jika mereka didapati bersalah mengadakan sesi latihan dalam tempoh PKPB.

“Selaras dengan surat pekeliling yang telah diedarkan kepada semua pemegang taruh Liga Malaysia, pasukan tidak dibenarkan mengadakan sebarang sesi latihan termasuk sesi latihan berskala kecil, sesi senaman di gymnasium atau sebagainya memandangkan ia adalah arahan daripada MKN, KKM dan KBS.

“MFL akan sentiasa mengikuti arahan dan SOP daripada pihak kerajaan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pasukan yang didapati melanggar perintah tersebut daripada MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah.

“Diharap kesemua pasukan dapat bersabar terlebih dahulu untuk mengadakan sebarang program latihan di mana kita haruslah memenuhi tuntutan daripada pihak berkuasa dalam usaha memastikan semua pasukan mematuhi SOP seperti yang diarahkan oleh KKM.”

Tambah Ghani, MFL akan menyediakan permohonan semula perancangan baharu kalendar Liga Malaysia 2020 beserta dengan SOP latihan pasukan dan perlawanan kepada MKN menerusi KBS selepas PKPB berakhir.

“Seperti yang dimaklumkan oleh menteri, pihak MKN bersedia untuk meneliti permohonan daripada MFL mengenai penganjuran Liga Malaysia dan sudah pasti MFL bersama FAM akan bersedia dengan lebih awal mengenai segala perancangan dan SOP agar Liga Malaysia dapat bersambung semula tahun ini.”

Sebelum ini, MFL sudah mengumumkan perancangan untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Jika perancangan itu mendapat kelulusan kerajaan, maka semua pasukan dijangka akan memulakan sesi latihan pada Ogos 2020 mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan garis panduan MKN, KKM, KBS, AFC dan FIFA.