Liga Super Malaysia Berita

FAS mohon kebenaran kerajaan negeri Selangor untuk adakan latihan

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan pasukan Selangor akan kembali berlatih pada 9 Jun ini dan sedang mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri untuk mengadakan sesi latihan secara berpasukan.

Katanya, Selangor akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami sedang menunggu kelulusan yang dikeluarkan daripada kerajaan negeri sebelum memulakan sesi latihan,” kata Johan kepada Astro Arena.

“Latihan fizikal, simulasi permainan mampu dilakukan ketika latihan secara bersendirian atau berskala kecil.”

SOP tersebut termasuklah menjalani ujian saringan sebelum memulakan latihan, mengamalkan penjarakan sosial dan sesi latihan akan membabitkan lima atau enam pemain sahaja.

Jika diberi kebenaran, Selangor akan menjadi pasukan Liga Malaysia pertama yang kembali memulakan latihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada Mac lalu, yang melarang sebarang aktiviti sukan termasuk sukan berpasukan profesional.