Liga Super Malaysia Berita

Asmirul: Pengurusan terdahulu tidak tipu, peruntukan gaji Kedah sudah diluluskan

Asmirul Anuar Aris menegaskan peruntukan RM1.5 juta bagi membayar gaji pemain Kedah sudah diluluskan seperti yang dijanjikan sebelum ini, walaupun mereka tidak mendapat sebarang bayaran sehingga berlalunya hari raya Aidilfitri.

Justeru, bekas Setiausaha Kehormat KFA itu meminta kerajaan negeri membuat pembayaran dengan segera, selepas Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor mendakwa tiada sebarang kelulusan rasmi dibuat kerana peruntukan itu masih berada dalam peringkat cadangan.

“Saya berharap Menteri Besar baharu dapat merujuk terus kepada pihak KFA dan melihat surat berkaitan kelulusan oleh menteri besar yang terdahulu,” katanya kepada Arena Metro.

“Saya yang tulis surat kepada bekas Menteri Besar dan beliau pula tulis surat kepada Pejabat Kewangan Negeri dan salinan berkenaan ada pada pihak KFA.”

Jika benar ada kelulusan rasmi seminggu sebelum raya, persoalannya kini terletak di bawah pentadbiran baharu mengapa tidak membuat sebarang pembayaran gaji sebelum raya.