Liga Super Malaysia Berita

Melaka United akui ada tunggakan gaji musim lepas bernilai hampir RM1 juta

Melaka United mengakui sedang berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji musim lepas bernilai hampir RM800,000.

Perkara itu mungkin timbul kerana enggan berdepan dengan FIFA yang boleh mengenakan hukuman berat iaitu penggantungan, selepas melihat Kelantan berdepan dengan masalah tersebut disebabkan gagal menyelesaikan tunggakan gaji bekas importnya Cassio.

Namun, ia secara tidak langsung menambahkan lagi beban Melaka United yang sedang menyelesaikan tunggakan gaji musim ini.

“Kita fokus untuk selesaikan satu persatu. Kita sudah selesaikan tunggakan Mac sebelum ini dan bulan ini, kita akan lunaskan tunggakan April pula,” kata Naib Presiden Melaka, Mohd Ashiq Abd Samad kepada Arena Metro.

“Kita juga sedang bekerja keras untuk menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu berjumlah hampir RM800,000. Kita sudah memaklumkan perkembangan ini kepada pemain dan mereka faham keadaan kita.

“Kami optimis tunggakan tahun lalu ini dapat diselesaikan dan presiden juga memberi jaminan berhubung isu ini.”

Melaka United menjadi pasukan kedua yang dikenakan pemotongan tiga mata musim ini selepas gagal membayar tunggakan gaji pada bulan Februari, dan hampir dikenakan pemotongan tiga mata sekali lagi apabila gagal membuat bayaran sebelum 30 April, namun FAM memberikan masa sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.