Malaysia Berita

Skuad negara bercita-cita mahu layak ke Piala Dunia B-20

Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan memasang cita-cita untuk layak ke Piala Dunia B-20 apabila bakal bersaing dalam Kejohanan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata meskipun penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak merencatkan perancangan teliti pasukan, motivasi pemain masih berada dalam keadaan terbaik,

“Pemain masih mengikuti latihan dan menjaga tahap kecergasan yang berpandukan arahan kelab dan pasukan masing-masing, tetapi dalam keadaan sekarang apa yang boleh dibuat sangat minima,” katanya kepada Bernama.

“Saya pergi ke rumah beberapa pemain melihat keadaan sesi latihan, dan berjumpa secara peribadi. Apabila bercakap dengan Luqman dan Mukhairi Ajmal, saya dapati mereka amat bersemangat dengan sasaran, dan kekal bermotivasi untuk layak ke Piala Dunia.

“Kami amat komited untuk layak ke Piala Dunia B-20 2021… untuk menjadi pasukan pertama Malaysia beraksi secara merit ke Piala Dunia. Ia bukan misi mustahil, memandangkan kita pernah menang dengan kuasa besar Asia seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia. Jurang itu tidak besar lagi.”

Walaubagaimanapun, skuad B-18 perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sukan bola sepak, yang dijangka dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada bulan depan.

“Kami perlu tunggu SOP yang dikeluarkan MKN nanti, sebelum kami boleh teruskan dengan pelan yang telah dirangka. Barisan kejurulatihan pasukan juga telah siap dengan beberapa alternatif, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.”

Proses undian peringkat kumpulan AFC B-19 dijadualkan berlangsung pada 21 Jun ini.

Tahun lalu, skuad B-18 kendalian Brad Maloney mencipta kejutan apabila menewaskan Australia 3-0 dalam saingan Kumpulan B Kejohanan AFF B-19, namun tewas 0-1 kepada pasukan yang sama dalam perlawanan akhir.

Skuad B-18 kemudian muncul juara Kumpulan G Kelayakan AFC B-19, sekali gus layak beraksi AFC B-19 di Uzbekistan tahun ini.