Krisis kewangan Kelantan FA semakin parah apabila Datuk Wan Rakemi Wan Zahari meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.
Wan Rakemi berkata keputusan itu terpaksa dibuat selepas syarikat tersebut yang mengendalikan Kelantan serta After Image Sdn Bhd selaku penaja terbesar terkesan dengan wabak COVID-19.
“Peletakan jawatan itu juga secara tidak langsung menyaksikan syarikat After Image Sdn Bhd sebagai pihak berkepentingan terbesar dalam Team TRW Sdn Bhd turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.
“Keputusan ini bukanlah dibuat secara semberono. Ia dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk perkembangan terkini keadaan dunia terutamanya penularan wabak pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Hujung tahun lalu, Wan Rakemi dilantik selaku pengarah urusan TRW Sdn Bhd manakala After Image menjadi rakan kongsi rasmi KAFA dan bertanggungjawab mengendalikan soal kewangan dan gaji barisan pemain, pegawai dan jurulatih.
Namun, penarikan diri Wan Rakemi serta After Image selepas hanya beberapa bulan menguruskan Kelantan FA menyebabkan pasukan Pantai Timur itu kini tidak mempunyai sebarang sokongan kewangan.
Malah, mereka perlu membayar hampir RM1 juta wang tunggakan gaji Cassio dengan segera.
Mungkin sebab itulah mereka melancarkan tabung derma selamatkan bolasepak Kelantan yang setakat ini hanya berjumlah RM13,000.
“Kelantan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kutipan tiket, jualan jersi dan tajaan syarikat untuk menyokong operasi pasukan,” kata Wan Rakemi kepada Astro Arena.
“Namun, sejak saingan Liga-M ditangguhkan, kantung kewangan pasukan semakin meruncing. Bukan itu sahaja, masih banyak hutang lama pasukan yang belum diselesaikan.
“Situasi ini membuatkan After Image sudah tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab itu, tambahan pula dalam situasi yang tidak menentu serta aliran tunai yang sangat kritikal ketika ini.”
Wan Rakemi turut meletakkan jawatan sebagai Exco Eksekutif KAFA penggal 2019-2023, Bendahari dan Pengurus Pasukan Kelantan musim ini.
“Saya mohon maaf kepada semua penyokong setia TRW di atas keputusan ini.
“Terima kasih juga kepada barisan kepimpinan KAFA dan semua yang terlibat dalam memajukan bola sepak negeri Kelantan.