Liga Super Malaysia Berita

MFL: Pasukan Liga Malaysia boleh rancang sesi latihan

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan semua pasukan boleh merancang untuk mengadakan sesi latihan masing-masing, meskipun kerajaan masih belum membenarkan Liga Malaysia bersaing ketika ini.

Katanya, tindakan proaktif seperti Selangor dalam merancang lebih awal untuk mengadakan sesi latihan wajar dicontohi pasukan lain supaya pasukan lebih bersedia jika liga dibenarkan bersaing semula.

“Selangor hanya merancang, mereka pun melihat kepada keadaan semasa,” katanya kepada BH Sukan.

“Mana tahu kerajaan umumkan sukan bola sepak dibenarkan Jun nanti. Maknanya perancangan mereka itu jadi tepat dan mereka boleh bersedia lebih awal.

“Maknanya, pasukan lain baru nak merancang Jun, tapi mereka sudah boleh turun latihan.

“Semua pasukan hari ini perlu merancang awal. Kalau kata September boleh mula liga, maknanya Selangor sudah bersedia dengan pemain mereka dan itu satu perancangan yang bagus juga.”

Pada masa sama, Ghani mengulas lanjut bahawa pasukan tidak perlu memohon kepada MFL untuk mengadakan sesi latihan kerana pihaknya tidak mempunyai kuasa jika mereka mahu turun padang untuk mengadakan sesi latihan, kerana mereka tertakluk di bawah kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bukan hak MFL nak pasukan memohon dengan MFL. Ini semua di bawah MKN dan juga kerajaan. Kami hanya hantar garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan kepada semua pasukan semasa PKP.

“Ketika ini PKPB, namun masih lagi tidak boleh menjalani latihan dan sebagainya. Itu semua kelulusan dari kerajaan, bukan MFL.”