Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FA buat rayuan kepada CAS

Kelantan FA dilaporkan telah membuat rayuan rasmi kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) untuk mengenepi dan membatalkan keputusan FIFA terhadap arahan membayar bekas pemain import Cassio dalam tempoh 30 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid juga memohon supaya pembayaran tersebut ditangguhkan sehingga keputusan rayuan diputuskan oleh CAS.

“CAS masih belum memutuskan sama ada permohonan ini dibenarkan atau tidak,” katanya dalam kenyataan.

“Sekiranya dibenarkan maka KAFA diberi tempoh utk membuat bayaran sehingga keputusan tersebut diputuskan seandainya rayuan pihak KAFA ditolak.”

Kelantan FA diarah untuk menyelesaikan hutang bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28 yang diberi tempoh 30 hari bermula 23 April 2020.

Disebabkan itu, KAFA bertindak melancarkan tabung Derma Atas Talian Selamatkan Bola Sepak Kelantan yang dilancarkan pada 9 Mei lepas.

“Setakat 17 Mei, jumlah terkumpul berjumlah RM 12,400.00,” kata Muzakkir.

“Kita menjangkakan lebih ramai lagi penderma jika rayuan diterima.”