Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FA kesal tabung bantuan gaji pemain jadi isu politik

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menganggap isu tunggakan gaji pemain Kelantan FA tidak sepatutnya dijadikan isu politik mahupun mengaitkannya dengan Mohamad Sabu kerana beliau hanya menjadi penasihat selama dua bulan sebelum membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

Muzakkir mendedahkan, Mat Sabu yang dilantik sebagai penasihat KAFA pada 17 Oktober tahun lepas kemudiannya meletakkan jawatan pada bulan Disember.

“Ketika itu status beliau sebagai Menteri Pertahanan dan dinasihatkan oleh Kementerian Pertahanan untuk beliau menarik diri dari jawatan berkenaan,” katanya kepada BH Sukan.

“Oleh itu saya berharap mana-mana pihak tidak lagi memainkan isu ini untuk agenda politik semasa kempen derma ini dilancarkan.”

Mohamad Sabu dikritik oleh sesetengah pihak selepas didakwa gagal membantu Kelantan menyelesaikan hutang pasukan dan tunggakan gaji pemain, termasuklah Cassio sehingga terpaksa melancarkan tabung bantuan selamatkan Kelantan FA.

Namun Muzakkir mempertahankan pengurusan KAFA, dan mengakui badan bolasepak itu tidak terlibat dengan politik.

“KAFA tidak terbabit dengan agenda politik. Sudah tentu KAFA juga jika dibenarkan dan tidak menyalahi peraturan dan undang-undang ingin melantik mana-mana menteri yang sudi sebagai penasihat persatuan.”