Brendan Gan mempersoalkan niat sebenar pemain warisan negara, sama ada mereka benar-benar mahu mewakili negara ataupun ada niat disebaliknya.
Selaku pemain pertama Malaysia yang diiktiraf sebagai pemain warisan selepas menukar kerakyatan dari Australia ke Malaysia pada 2014, Brendan pastinya memahami isi hati pemain warisan yang mahu mengubah karier bolasepak mereka ke arah yang lebih baik.
Brendan membuat penampilan pertama dengan skuad kebangsaan pada 2016 namun mengambil masa tiga tahun sebelum akhirnya menjadi salah seorang pemain utama negara.
Selain Brendan, hanya Matthew Davies dan La’vere Corbin Ong menjadi pemain warisan yang berjaya menembusi skuad kebangsaan dan sentiasa menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe.
Namun majoriti pemain warisan yang tampil dan menjadi warganegara Malaysia gagal menyerlah, malah ada yang tidak pernah mewakili negara.
“Persoalannya, adakah mereka datang untuk menyerahkan segala kudrat buat negara atau hanya mahu mendapatkan wang,” kata Brendan kepada Astro Arena.
“Terdapat ramai pemain yang memiliki darah campuran dan saya fikir, jika mereka cukup bagus dan sedia berjuang, mengapa tidak.”
Bagi pemain skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, beliau bimbang sesetengah pemain warisan mengambil kesempatan terhadap program naturalisasi FAM.
Beliau yang pernah mewakili negara yang dahulunya 100 peratus dibarisi produk tempatan, kini beraksi dalam skuad kebangsaan yang dibarisi pemain naturalisasi dan warisan negara.
“Kadangkala perspektif orang ramai hanya berpendapat pemain kacukan semestinya berkualiti. Bagi saya, tidak semua. Apabila terlalu ramai pemain tanpa melihat kualiti yang ada, secara tidak langsung pemain tempatan telah disisihkan.”