Malaysia Berita

FAM kenalpasti status Harry Edge, Marcel Kalonda sebelum dibenarkan wakili Malaysia

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya sedang mengenalpasti status Harry Edge dan Marcel Kalonda sebelum dibenarkan mewakili Malaysia.

Katanya, pihaknya sudahpun menghubungi kedua-dua pemain kacukan tersebut dan meminta mereka menyediakan dokumen yang mengesahkan bahawa mereka mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia.

“Apabila kami sudah mengesahkan bahawa mereka berdua ada darah warisan Malaysia, kami boleh memulakan proses untuk menjadikan mereka sebagai pemain berstatus warisan,” kata Yusoff kepada Astro Arena.

“Selepas setiap dokumen yang berkaitan sudah selesai kami kenal pasti, kami akan menilai mereka melalui jawatankuasa teknikal.”

Kata Yusoff, kedua-dua pemain tersebut bersetuju untuk menyediakan dokumen yang dikehendaki.

“Mereka memberikan jawapan bahawa mereka akan menyediakan segala dokumen yang diperlukan.

“Sekarang ini, kami sedang menunggu mereka memulangkan dokumen itu semula agar kami dapat melihat sama ada dokumen itu boleh diterima atau tidak.”

Harry Edge berusia 26 tahun dan berasal dari New Zealand namun bapanya Declan dilahirkan di Melaka dan pernah beraksi untuk skuad kebangsaan New Zealand.

Harry beraksi selaku pemain tengah dengan kelab Sweden, Torslanda IK dalam Liga Sweden divisyen kedua.

Marcel Kalonda pula dilahirkan di Kolwezi, DR Congo namun mendakwa datuknya lahir di Sabah, dan dia sendiri pernah melawat Malaysia semasa kecil.

Pemain berusia 22 tahun itu merupakan pemain pertahanan yang berketinggian 188cm dan kini dia beraksi dengan ZESCO United yang menjadi juara Liga Zambia musim lepas.

Kalonda juga menjadi pemain utama pasukannya dalam saingan CAF Champions League iaitu Liga Juara-juara Afrika sejak 2018.