Liga Super Malaysia Berita

Tak dapat main bola, pemain Perak ini jual sate

Penangguhan Liga Malaysia 2020 akibat wabak COVID-19 pastinya meresahkan semua pemain kerana masih belum ada tanda-tanda musim ini akan disambung semula.

Sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan sebulan yang lalu, pelbagai inisiatif yang diambil oleh para pemain. Ada yang berniaga dan ada yang memberi bantuan kepada golongan memerlukan.

Pemain Perak, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri juga tidak ketinggalan.

Keluarganya sudah menjalankan perniagaan sate sejak 15 tahun lalu. Malah, mereka biasanya menjual sate di tiga bazar di Ipoh setiap kali tiba bulan Ramadan.

Namun pelaksanaan PKP memaksa keluarganya membiasakan dengan pendekatan perniagaan yang baharu iaitu perkhidmatan penghantaran.

Khairil menjadi salah seorang penghantar sate. Ternyata ia membuka matanya terhadap sektor perkhidmatan penghantaran.

“Sebelum ini saya tidak dapat bantu kerana kekangan masa dengan latihan,” katanya kepada BH Sukan.

“Ramadan ini saya mengubah waktu bersenam di sebelah malam, jadi waktu siang saya mengambil kesempatan membantu keluarga dan membuat penghantaran sate tempahan pelanggan di sekitar kawasan Ipoh.

“Rupanya tak semudah yang kita sangka menghantar makanan dari rumah ke rumah setiap hari, kerja ini perlu banyak bersabar dan paling penting ikhlas berniaga.”