Liga Super Malaysia Berita

Pemain Melaka United akhirnya dapat gaji bulan Februari

Pemain Melaka United akhirnya akan mendapat gaji bulan Februari pada hari ini, setelah dua bulan menanti.

Ia melibatkan tunggakan gaji bernilai lebih RM600 ribu meliputi pemain tempatan dan import.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi berkata, langkah penyelesaian hutang bulan Februari itu adalah hasil suntikan dana presiden baharu, Datuk Sulaiman Md Ali yang juga merupakan Ketua Menteri Melaka.

“Usaha menyelesaikan tunggakan bagi bulan Mac pula giat dilakukan dan kita berharap ia akan berjalan dengan baik,” katanya kepada Arena Metro.

Bekas pemain Melaka, Asri Ninggal yang kini merupakan setiausaha agung baharu Melaka United berkata, pihak pengurusan akan terus menumpukan usaha untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain.

Melaka United dipotong tiga mata Liga Super selepas didapati gagal melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

Apabila berlakunya penangguhan liga disebabkan wabak COVID-19, pihak pengurusan dan pemain pada mulanya bersetuju untuk membuat pemotongan gaji pemain demi meringankan beban kewangan pasukan.

Namun, kedua-dua pihak gagal mencapai sepakat apabila pengurusan mahu menangguhkan lagi tunggakan gaji bulan Februari dan Mac, sedangkan para pemain hanya bersetuju untuk melakukan pemotongan gaji jika pihak pengurusan melunaskan dua bulan gaji tertunggak.