Liga Super Malaysia Berita

Sempena Ramadan, Safawi Rasid bantu golongan asnaf di Johor dan Terengganu

Walaupun bertaraf pemain bintang, Safawi Rasid tidak lupa untuk melakukan amal ibadah di bulan Ramadan dengan membantu golongan yang dalam kesusahan dan juga petugas barisan hadapan COVID-19.

Untuk membantu golongan tersebut, pemain JDT berusia 23 tahun itu bersama-sama rakan dan adik-beradiknya bekerjasama mencari golongan kurang berkemampuan di sekitar Muar, Johor dan kampung halaman di Dungun, Terengganu sebelum memberikan bantuan.

Safawi bagaimanapun mengakui sudah terlibat dengan kerja amal sejak bergelar sebagai pemain profesional.

Disebabkan itu, hampir setiap hari di bulan Ramadan, pasti ada individu yang datang untuk meminta bantuan keperluan asas.

“Saya mempunyai kumpulan yang akan bergerak menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan. Bantuan turut diagihkan kepada barisan hadapan demi memerangi Covid-19,” katanya kepada Arena Metro.

“Abang saya akan uruskan penyaluran bantuan di kawasan Muar, Johor, manakala di Dungun, Terengganu dan beberapa kawasan lain ada rakan yang membantu memberikan barangan keperluan kepada orang ramai.

“Saya cuma mahu kongsikan rezeki yang diperoleh kepada golongan memerlukan kerana mereka juga sentiasa menyokong industri bola sepak tanah air.”

Disebalik penangguhan Liga Malaysia 2020 akibat wabak COVID-19, Safawi bersyukur dapat kembali meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

“Walaupun jauh dari kampung sebab tidak boleh pulang ke Dungun namun kesempatan berpuasa kali ini sebenarnya lebih meriah apabila masing-masing berbuka di rumah.

“Kami boleh melaksanakan solat tarawih bersama-sama dan masa dihabiskan dengan aktiviti berfaedah sekali gus merapatkan lagi hubungan keluarga.”