Liga Super Malaysia Berita

AFC: Ada klausa FIFA yang boleh selamatkan Liga Malaysia

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John mendedahkan terdapat sebuah klausa FIFA yang dikenali sebagai klausa “frustration of contract” yang boleh menyelesaikan kemelut saingan Liga Malaysia musim ini.

Katanya, penangguhan liga akibat wabak COVID-19 membolehkan klausa tersebut digunakan kerana ia melibatkan isu kontrak pemain, pegawai dan jurulatih pasukan yang terkesan.

“Sebenarnya kita ada klausa frustration of contract,” katanya kepada Sukan Sinar.

“Ia boleh diguna pakai kerana pembatalan saingan liga atau aktiviti bola sepak hari ini bukan berpunca daripada sesiapa Bukan salah majikan bukan salah pekerja, cuma tak boleh buat kerja.

“Itulah sebabnya dari dulu saya cakap pemain dengan majikan kena duduk bincang. Kalau tak dapat gaji penuh pun, dapat gaji separuh lebih baik daripada tak dapat gaji langsung.

“Cuma kita mahu tahu bagaimana klausa ini ditafsirkan di negara ini kerana dalam klausa ini ada penyelesaian.”

FAM dan MFL dalam dilema sama ada mahu membatalkan liga atau tidak apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin tetap dengan pendirian melarang sebarang perhimpunan beramai-ramai walaupun selepas berakhir PKP.