Liga Super Malaysia Berita

Felda potong gaji pemain antara 5 hingga 20 peratus

Felda United membuat keputusan untuk melaksanakan pemotongan gaji barisan kejurulatihan dan pemain kelab sebanyak lima hingga 20 peratus sebagai langkah untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah kewangan selepas penangguhan liga akibat wabak COVID-19.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman mengesahkan bahawa pemotongan gaji itu akan bermula bulan April dan bayaran gaji bulan berikutnya akan dibayar seperti biasa jika perintah kawalan pergerakan ditamatkan.

“Pada 14 April lalu, kami sudah memberikan surat kepada semua barisan kejurulatihan dan pemain Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan akademi untuk memaklumkan potongan gaji antara lima hingga 20 peratus,” katanya kepada Arena Metro.

“Pemotongan gaji hanya untuk tempoh PKP sahaja dan setakat ini secara tidak rasmi semua bersetuju dengan pemotongan yang dicadangkan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan pasukan.

“Antara faktor pemotongan itu dilaksanakan ialah disebabkan penangguhan saingan Liga Malaysia, khususnya Liga Super dan pada masa sama, ia dapat menampung sumber kewangan kelab.”

Afizal turut mendedahkan, sesi perbincangan telah diadakan bersama ketua jurulatih dan kapten pasukan bagi mendapatkan pandangan para pemain.

“Hasil perbincangan itu, segala pandangan dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan pasukan dalam menentukan jumlah potongan gaji.

“Felda United juga mengikut saranan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).”

Pemotongan gaji itu dibuat selepas para pemain dan staf kejurulatihan Felda United menyumbang sebahagian gaji mereka untuk membantu meringankan beban petugas barisan hadapan COVID-19 serta mmbantu golongan Felda yang memerlukan.