Liga Super Malaysia Berita

Isu penaja, wabak COVID-19 dan MFL punca Kedah hadapi masalah kewangan

Setiausaha Kehormat Kedah FA, Asmirul Anuar Aris mendedahkan bahawa masalah kewangan yang dihadapi pasukan itu berpunca daripada penaja, isu wabak COVID-19 dan sikap acuh tak acuh oleh MFL.

Dalam catatan panjangnya di akaun rasminya di Facebook, Asmirul menjelaskan masalah kewangan mula timbul apabila perintah kawalan pergerakan memaksa penaja memohon penangguhan pembayaran sehingga 1 April.

“Malangnya, sebagaimana yang semua sedia maklum, PKP telah di lanjutkan hingga ke peringkat 3 yang akan berakhir pada 28 April 2020.

“Ini telah menyukarkan pihak penaja untuk memperjelaskannya kerana perniagaan mereka juga terjejas teruk akibat daripada kekangan ekonomi yang berlaku. Namun mereka tetap berjanji akan memperjelaskan penajaan sebaik sahaja PKP tamat.”

Asmirul turut menjelaskan peruntukan kerajaan negeri Kedah ketika ini digunakan untuk membantu ekonomi negeri serta digunakan untuk memerangi wabak COVID-19.

“Keutamaan harus diberikan setelah menyelesaikan kesemua bajet rangsangan ekonomi serta bantuan keperluan kepada rakyat untuk kos sara hidup yang pada ketika ini tentunya telah menjadi agenda utama negeri.

“Misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan yang amat penting. Kerajaan Kedah menfokuskan patuh PKP ini dititik beratkan sehinggalah kita berjaya mengekalkan 5 hari(10~14 April) berturut-turut tiada kes baru Covid 19. Ini semua hasil keutamaan kerajaan negeri.”

Namun begitu, Asmirul menegaskan bolasepak tetap berada dalam agenda utama kerajaan negeri.

“Bolasepak sebagai sukan yang paling di minati di Kedah tidak akan di kesampingkan. Ianya kini berada di agenda kedua langkah penyelesaian setelah pihak penaja menghadapi kekangan ketika kegawatan ekonomi.

“Kerajaan negeri masih boleh mempunyai dana untuk langkah penyelesaian. Segalanya akan di selesaikan sebaik mungkin oleh kerajaan setelah tamat tempoh PKP ini. Insya-Allah.”

Asmirul bagaimanapun menyalahkan MFL dan FAM yang didakwanya masih gagal mencapai kata putus meskipun beberapa kali mengadakan perbincangan.

“Pihak MFL dan FAM masih lagi belum menyediakan kata putus bilakah tarikh akan bermula kembali liga setelah bermesyuarat berkali-kali.

“Keputusan menagguhkan liga tiada kata putus. Tarikhnya masih dalam perbincangan yang sentiasa ditangguh dari satu mesyuarat kepada satu mesyuarat yang akan datang.

“Jadi bagaimana pihak pengurusan di setiap negeri atau badan gabungan di seluruh Malaysia boleh menstruktur kewangan pasukan masing-masing serta mengadakan perbincangan dengan pemain?

“Sepatutnya FAM dan MFL menjaga kebajikan negeri-negeri selaku badan gabungan ketika negara sedang di landa pelbagai musibah. Bukan hanya sekadar menjadi perantara kepada sebuah negeri.

“Jika mereka sendiri gagal mencari kos bantuan untuk menjaga kebajikan negeri yang teruk di landa musibah apalah sangat keupayaan setiap negeri bersama penaja masing-masing.”

Asmirul turut terkilan dengan tindakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilihat sengaja mendedahkan masalah kewangan Kedah.

“Saya juga mempersoalkan kewajaran JDT untuk campur tangan dalam pengurusan badan gabungan seolah melangkaui FAM? Untuk apa tujuan menggembar gembur di dalam media ketika negara gawat dengan wabak COVID19?”

Asmirul menamatkan catatannya dengan memberi jaminan bahawa pihak pengurusan akan memastikan tunggakan gaji pemain diselesaikan jua walaupun terpaksa menunggu buat sementara waktu.

“Insya-Allah bermula tampuk pimpinan Mei 2018 sehingga kini belum pernah Kedah FA gagal melangsaikan gaji pemain.

“Cuma kelewatan yang berlaku adalah kerana wabak COVID19 yang telah melanda seluruh dunia.

“Perbincangan dengan pemain akan segera dilangsungkan setelah pihak FAM dan MFL memberikan tarikh terakhir kemaskini permulaan kembali musim 2020.”