Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman mengakui pihaknya mungkin terpaksa memotong gaji pemain Kelantan buat sementara waktu kerana kekurangan dana selepas liga ditunda akibat wabak COVID-19.
Namun, katanya KAFA akan berbincang dengan para pemain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Kita harap pemain dapat memberi kita sedikit ruang berhubung isu pembayaran gaji kerana ketiadaan perlawanan menyebabkan pendapatan kita berkurangan,” katanya kepada BH Sukan.
“Ketiadaan perlawanan juga menyebabkan kita susut kira kira RM100,000 bagi setiap perlawanan di mana kutipan tiket memang diperlukan untuk menampung perbelanjaan pasukan.
“Jadi kita akan bertemu pemain dan cuba berbincang mengenai keperluan untuk memotong gaji. Ia bukanlah pemotongan tetap namun lebih bersifat sementara sehinggalah liga bersambung kembali nanti.”
Kelantan merupakan salah sebuah pasukan yang berdepan dengan masalah kewangan pada musim ini dan terlepas daripada pemotongan tiga mata oleh FAM.
Bagaimanapun masih ada kes tunggakan gaji melibatkan beberapa bekas pemain import Kelantan dan ia telah dilaporkan kepada FIFA.