Liga Super Malaysia Berita

Kurniawan: Sabah boleh belajar daripada Indonesia

Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto mendedahkan pihaknya sedang mengatur perlawanan pra-musim menentang kelab Indonesia iaitu Madura United dan Persebaya pada awal bulan Februari.

Katanya, kelab Indonesia mempunyai jumlah penonton yang ramai dan beliau mahu mencabar para pemainnya apabila beraksi di bawah tekanan yang tinggi.

“Bermain menentang kelab Indonesia yang sentiasa mempunyai kehadiran penyokong yang ramai akan menjadi cabaran yang baik buat para pemain,” katanya kepada The Star.

“Saya mahu lihat bagaimana pemain menangani tekanan yang dihadapi.

“Perlawanan ini akan menjadi platform yang membolehkan kita melihat bagaimana para pemain dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan yang dipraktikkan dalam sesi latihan.

Sabah sedang menjalani sesi pra-musim di Filipina dan menang 2-0 menentang Kaya FC semalam dan akan turun bertemu Stallion Laguna FC esok.

Dalam pada itu, Sabah masih mencari seorang pemain import bagi mengisi posisi tengah pasukan.

“Kami masih mencari seorang pemain tengah, ada beberapa saranan tapi saya perlu berhati-hati kerana kami tidak mahu membawa masuk pemain hanya berdasarkan daripada video yang dihantar oleh ejen.”

Sabah baru sahaja menandatangani bekas pemainnya Hector Ramos bagi saingan musim 2020.

Pemain berusia 29 tahun itu pernah beraksi dengan Sabah pada 2018, apabila beraksi sebanyak 18 kali dan menjaringkan 20 gol ketika di Liga Perdana.

Sehingga kini, Sabah memiliki seorang penyerang import, Rodoljub Paunovic, pemain sayap Dennis Buschening dan pemain pertahanan Park Tae-soo.