Futsal Berita

Futsal: Mengapa Pahang Rangers bawa masuk Gerard Casas

Jurulatih futsal dari Barcelona, Sepanyol, Gerard Casas dilihat bakal merevolusikan Pahang Rangers pada musim MPFL 2020.

Setiausaha Agung Pahang Rangers, Ahmad A Adnan berkata pihaknya memerlukan perubahan dalam barisan kejurulatihan selepas menamatkan saingan liga di tempat kedua musim lepas.

“Sudah sampai masanya kita membawa muka baharu, jurulatih asing yang boleh menaikkan pasukan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Football Tribe.

“Kita ada beberapa pilihan dan kami merasakan Gerard Casas paling sesuai. Dia muda tapi sangat berpengalaman.”

Walaupun Casas merupakan penolong jurulatih di kelab futsal Kuwait, Al Arabi Sporting Club, namun Adnan merasakan Casas mampu untuk membantu Pahang memenangi liga buat pertama kali dalam sejarah.

“Kami berharap para pemain akan dapat belajar banyak daripada Casas sepanjang musim ini dan sudah pasti beliau akan membawa sesuatu yang baharu dan segar kepada pasukan.”

Pahang akan memulakan sesi pra-musim tidak lama lagi, dengan misi untuk merangkul juara liga, sekaligus Kejohanan Kelab Futsal AFC musim 2021.