Malaysia Berita

Ong Kim Swee: Pemain Malaysia berbakat, tapi perlu beri komitmen tinggi

Sejak tersingkir daripada Sukan SEA 2019, Datuk Ong Kim Swee mempelajari pelbagai perkara di Australia dan ia boleh digunakan untuk perkembangan pemain muda negara dalam saingan liga bolasepak tempatan.

Menerusi diploma profesional AFC yang diadakan di Sydney FC, beliau bersama-sama Brad Maloney mempelajari selok-belok pembangunan bolasepak di Australia.

“Banyak yang dipelajari di Australia, kami mengetahui pelbagai cara untuk meningkatkan kecergasan pemain, kepentingan video analisis dan mempelajari pelbagai program remaja, serta sistem gaji siling yang diterapkan, dan dilihat membantu liga mereka untuk jangka masa yang panjang,” katanya kepada The Star.

Pada masa sama, satu perkara yang boleh diikuti pemain muda negara adalah bagaimana pemain sanggup bermain di liga Australia walaupun gajinya tidak setinggi liga-liga lain, sebaliknya mereka bercita-cita untuk bermain di luar negara dan memastikan mereka sering terpilih dalam kesebelasan utama.

“Pemain mereka mempunyai cita-cita yang tinggi. Bolasepak bukan sukan paling popular di Australia, tetapi kita boleh lihat mereka sungguh bersemangat untuk tingkatkan prestasi masing-masing.

“Liga Premier Kebangsaan merupakan liga semi-profesional di Australia tetapi mereka berjaya mencari bakat baharu. Kebanyakan pemain sanggup bermula dari bawah untuk mencapai cita-cita mereka.”

Disebabkan itu, Ong mahu pemain negara menerapkan mentaliti yang selalu ingin bermain dan memberi komitmen yang tinggi dalam setiap perlawanan.

“Mereka sedar akan kepentingan minit permainan. Saya berharap pemain muda kita memikirkan perkara sama. Sama ada bermain di kelab besar atau kecil, berikan yang terbaik. Kerja keras setiap hari demi masa depan diri sendiri.

“Ambil contoh Safawi Rasid, ada antara kita yang merasakan dia membuat keputusan yang salah apabila meninggalkan T-Team untuk menyertai JDT, tetapi dia bekerja keras dan lihatlah di mana dia berada ketika ini. Salah seorang pemain terbaik dalam liga Malaysia.

Ong turut mendedahkan bagaimana skuad Sukan SEA 2019 dibarisi ramai pemain berbakat, tetapi mereka tetap gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan.

“Sangat kecewa apabila tersingkir sebegitu rupa, jadi kami mengambil pengajaran daripadanya, cumanya sudah terlambat. Saya sudah hilang kerja, tapi para pemain akan belajar daripada apa yang berlaku.

“Saya cuma berharap dapat melihat para pemain yang beraksi Sukan SEA mendapat tempat dalam perlawanan kompetitif.

“Dari situ, mereka mesti ada keinginan untuk berjaya dan memasang impian yang lebih besar.”

Ong juga berkata, beliau masih belum ada kata putus mengenai tawaran pengarah pembangunan belia di FAM, namun beliau terbuka untuk membantu dalam perkembangan pemain tempatan di peringkat akar umbi.

“Saya akan putuskan apa yang terbaik. Saya lebih berminat mengadakan program belia dan klinik kejurulatihan. Saya juga mahu belajar trend terbaru dalam bolasepak dan dikongsikan dengan para jurulatih tempatan. Saya sudah lama berada dalam pembangunan belia dan saya mahu teruskannya.”